Tuesday, November 29, 2011

Jihad..

Dari sudut bahasa, Jihad berasal daripada kalimah "al-Juhd",yang bererti keberatan dan kesusahan. Dipandang dari sudut ini, maka Jihad bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah, keredhaan dan rahmatNya. Dalam pengertian yang lain, Jihad adalah mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan berbagai cara: alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.




Jihad nafsu bermaksud jihad untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Ringkasnya ia merupakan Jihad untuk mentaati Allah, tunduk kepada perintahNya sepanjang masa. Ia dianggap Jihad Agung kerana luas medan perjuangannya yang tidak terbatas dan terhad bagi menangkis musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.

Sebagaimana yang dijelaskan di atas bahawa Jihad yang paling tinggi ialah Jihad melawan nafsu. Jihad melawan nafsu meliputi kesanggupan kita bersabar terhadap segala kesulitan dan cabaran-cabaran getir dalam menjalankan dakwah semata-mata kerana Allah S.W.T. Termasuk juga Jihad melawan nafsu adalah Jihad melawan syaitan. Menurut Ibn Al-Qaiyim, hal ini dapat dilakukan dengan dua cara, iaitu, Pertama: dengan cara menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hati, sama ada perasaan waswas, syak wasangka atau keraguan yang menggoyahkan keimanan. Kedua: dengan melawan bisikan syaitan di dalam hati yang sentiasa mengajak melakukan perbuatan maksiat dan mungkar. Untuk melawan kedua-duanya ini hendaklah iman diperkukuh dan sentiasa sabar dan menahan diri.

JIHAD DENGAN SENJATA

Perinsip umum Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian daripada peperangan. Islam menganjurkan semua manusia terutama pemeluk-pemeluknya supaya sentiasa menjaga keamanan dan berbaik-baik kepada semua bangsa dan penganut agama lain, kecuali kedudukan Islam terinaya atau terancam. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud;

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh".

Firmam Allah dalam Surah al-Haj, ayat 39-40, bermaksud;

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)" .

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: Tuhan Kami adalah Allah".

Berdasarkan nas-nas al-Quran di atas adalah jelas bahawa jihad dengan menggunakan senjata mestilah menepati syarat-syarat yang ketat dan bukti-bukti yang jelas seperti kita boleh menentang mereka yang memerangani atau menghalau kita dari tanah air kita yang dicintai.

No comments:

Post a Comment