Apa maksud iddah?

.

Apa maksud iddah?

Iddah ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.

Tujuan beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk semula kepada bekas isterinya. Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah dianggap sebagai tempoh berkabung bagi menunjukkan kesedihan ke atas pemergian suaminya.

Iddah sebenarnya mempunyai hikmah yang besar kepada perempuan dan lelaki. Walaupun dalam tempoh iddah ini, perempuan dilarang berkahwin lain dan dia juga dikenakan beberapa peraturan lain, iddah sebenarnya memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Lelaki yang ingin berkahwin dengan seorang perempuan yang baru bercerai atau kematian suami, jika si perempuan tadi tidak beriddah, tidakkah nanti jika perempuan itu tiba-tiba didapati hamil akan
menimbulkan keraguan tentang siapakah ayah ‘hakiki’ bagi bayi yang dikandungkan itu?

Bagi perempuan yang kematian suami pula, iddah merupakan satu penghormatan kepada isteri untuk menzahirkan kesedihan dan dukacita atas pemergian suami tercinta. Tempoh tertentu yang diberikan untuk perempuan yang bernasib malang ini pula dapat membantunya agar tidak berterusan berada dalam kesedihan. Cukuplah tempoh yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Selepas habis tempoh itu, hendaklah dia bertawakal kepada Allah dan meneruskan hidupnya dengan kesabaran.

0 Pemandu Berhemah:

Post a Comment