Thursday, January 5, 2012

Bahaya Fitnah !! Blogger Harus Ambil Cakna ..

Assalamualaikum semua..Semakin hari semakin menjadi-jadi sikap mazmumah yang keji ni..Lepas seorang, seorang..Sikap macam ni membuktikan kepada dunia sikap rakyat Malaysia..Semua orang tahu fitnah adalah satu sifat yang sangat keji..Tapi kenapa ada lagi orang yang lakukannya?? Kenapa?? Politik?? Trafik??

Sedangkan Rasullah pernah bersabda maksudnya, “Fitnah ialah pembakar hati dan pemusnah iman. Dengannya akan nyata siapa yang benar dan siapa yang dusta.”

Janganlah kita mengambil mudah di atas perkara ini kerana secara jelasnya ia menimbulkan ketidakseimbangan terhadap maruah seseorang sehingga akhirnya mengenepikan nilai akhlak dan kemanusiaan. Bahkan, ia mampu sampai kepada peringkat maksiat dan penyelewengan yang seterusnya bertukar menjadi syirik dan nifak.

 Bisikan


Sesungguhnya, bisikan adalah ciri fitnah yang pertama. Fitnah bukanlah sesuatu yang mampu dikesan secara langsung melalui penglihatan manusia sebaliknya ia bermula secara sembunyi dan berlarutan menjadi bisikan di antara dua orang atau lebih. Allah SWT telah melarang kita daripada berbisik yang membawa kepada maksiat dan dosa. Kenapa dan apakah pula hikmahnya?

Justeru, kebanyakan para mufasirin menyatakan bahawa ia boleh menyebabkan orang lain berdukacita. Ini adalah benar lebih-lebih lagi pada era sekarang yang mana umat Islam hidup dalam keadaan mewah dan individualistik. Betapa pentingnya hal ini bilamana Islam amat menjaga sensitiviti dan nilai perasaan umatnya sehingga ke tahap ini.

Umar bin Abdul Aziz juga pernah berkata: “Jika anda melihat satu kumpulan berbisik–bisik di antara mereka tentang sesuatu urusan agama mereka tanpa dilibatkan orang lain, maka ketahuilah bahawa mereka sedang mengasaskan kesesatan.” Adakah kita tergolong dalam kumpulan itu? Orang yang malang ialah mereka yang terlibat dalam fitnah dan lebih malang lagi mereka yang mendokongnya. 

Berterus-terang 

Semuanya tidak akan terjadi sekiranya kita bersikap terus-terang membicarakan sesuatu hal yang sepatutnya dizahirkan dan membelakangkan penyembunyian yang mendatangkan maksiat. Hendaklah kita sedar bahawa berbisik, mendiamkan diri serta menurut rentak yang dimainkan oleh pembawa fitnah adalah dilarang sama sekali kerana ia akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar. Beruntunglah bagi mereka yang mendapat taufik dan hidayah daripada Allah dalam menjaga penerusan jalan yang terlindung dari kemurkaan Allah.

Cara elak fitnah 

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Sedarlah wahai saudara, jauhilah daripada fitnah kerana fitnah itu pemusnah iman. Dan sebaliknya, suburkanlah akhlakmu dengan cita-cita yang tinggi, kebersihan jiwa dan memperbanyakkan istighfar serta amal kebaikan.

Sumber - http://ismamesir.com/v2/2011/11/bahana-fitnah/
             - http://imamzul.blogspot.com/2008/03/bahaya-fitnah.html

2 comments: