Tuesday, February 1, 2011

Banjir di Segamat (Gambar)..




LABIS: Segamat lumpuh sejak malam kelmarin apabila terputus perhubungan darat dengan dunia luar, berikutan semua laluan keluar masuk ke daerah itu ditenggelami air sehingga 1.5 meter.

Jalan keluar masuk ke daerah ini membabitkan Jalan Batu 8 Jementah-Lubuk Batu, Jalan Gemas-Segamat dan Jalan Bandar Segamat-Labis ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Berikutan perkembangan itu, semua pengguna jalan raya dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan berikutan kedua-dua hala jalan ditenggelami air dan berbahaya untuk dilalui.

Jurucakap polis berkata, semua hubungan ke Segamat kini lumpuh berikutan jalan dinaiki air mencecah paras dada orang dewasa, malah di sesetengah kawasan termasuk laluan di Tenang Station dikategorikan bahaya kerana arus deras.

Pasukan penyelamat kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan Sungai Segamat terus merekodkan kenaikan parasnya berikutan hujan berterusan sejak seminggu lalu.

Dalam pada itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghentikan sementara operasi pejabatnya di Segamat.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata ahli dan majikan yang ingin mendapatkan perkhidmatan KWSP boleh menghubungi cawangan KWSP terdekat iaitu di Muar atau Melaka.

Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 atau menghantar pertanyaan di laman web www.enquiry.kwsp.gov.my atau mendapatkan maklumat KWSP di laman web myEPF www.kwsp.gov.my.

Sementara itu, banjir besar yang melumpuhkan pekan Labis dan beberapa kawasan sekitarnya sehingga menjejaskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kelmarin, mulai surut.

Bagaimanapun, kebanyakan kedai dan premis perniagaan masih ditutup.

Tinjauan mendapati kedai makan dan serbaneka di pekan ini diserbu penduduk mendapatkan bekalan makanan sehingga stok makanan mulai berkurangan.

Tinjauan mendapati beberapa jalan sekitar Pekan Labis dipenuhi sampah sarap yang dihanyutkan banjir malam kelmarin, manakala beberapa jalan raya turut rosak.

Penduduk Kampung Paya Merah, Paya Merah Lama dan Lembah Bakti di Labis juga masih ditempatkan di pusat penempatan banjir berikutan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, yang memenangi pilihan raya kecil itu, kelmarin, turut meninjau mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

credit to BH..

6 comments:

  1. owh... ibu bapa harus kawal anak2 ni.

    ReplyDelete
  2. jangan jadikan banjir tempat belajar berenang...maut padahnya nanti...

    ReplyDelete
  3. baik-baik jaga diri... awasi keselamatan dan patuhi arahan

    ReplyDelete