Monday, January 3, 2011

Astro Penaja Baru Bagi Liga Malaysia..

ANDAINYA percaturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjalan mengikut perancangan, saingan Liga Malaysia (LM) bakal menjadi salah satu liga terbaik di benua Asia pada 2014.
Bermula musim ini, tempoh empat tahun diperlukan badan induk bola sepak negara itu untuk menukar saingan liga tempatan menjadi kompetitif dari setiap aspek.



FAM juga sudah mengambil langkah pertama apabila bekerjasama dengan Astro untuk berurusan dengan pihak penaja berminat selain perkongsian keuntungan, promosi serta langkah lain bagi memeriahkan kembali bola sepak tempatan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pihaknya sudah bersetuju menerima Astro sebagai penaja yang turut menyumbang RM120 juta kepada FAM untuk tempoh empat tahun bermula musim ini.

“Kita bersetuju menerima bidaan mereka dengan harapan dapat menjadi asas untuk menjadi lebih komersil selain meningkatkan prestasi pemain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas exco persatuan itu di Wisma FAM, semalam.

Difahamkan penaja utama LM sejak lapan tahun lalu, Telekom Malaysia (TM) turut membuat bidaan untuk menyambung kontraknya namun tidak berjaya. TM sebelum ini dilaporkan menaja FAM dengan jumlah RM8.5 juta untuk tempoh setahun sejak 2002 manakala Dunhill yang menjadi penaja utama bermula pada 1989 memberikan kira-kira RM33 juta untuk badan induk bola sepak negara itu.


“Kita juga masih belum memutuskan jumlah geran tahunan yang bakal diberikan kepada pasukan yang bersaing walaupun ada peningkatan penajaan kerana perlu membuat penelitian terlebih dulu termasuk kos untuk mengurus aset FAM,” jelasnya.

Mengenai status penaja utama, Tengku Abdullah berkata perkara itu akan diputuskan Astro dalam masa terdekat, selain mewujudkan satu jawatankuasa bersama untuk menyelaraskan perkara itu.
“Mungkin...” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan syarikat konglomerat telekomunikasi negara, Maxis sebagai penaja utama.

credit to Harian Metro

No comments:

Post a Comment